Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Hernie Suliana Haji Othman
SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 14 Mei. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman pagi tadi berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Shenzhen Women and Children's Centre.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah di pusat berkenaan dialu-alukan oleh President of the Shenzhen Women's Federation, Ms. Liu Jiachen, dan Vice President, Ms. Zang Chen.
Yang Teramat Mulia kemudiannya disembahkan mengenai latar belakang pusat tersebut oleh Vice President of the Shenzhen Women's Federation.
Yang Teramat Mulia melawat kemudahan-kemudahan seperti 'WEGO' di lobi utama termasuk skrin tandatangan digital; 'Buy42 Charity Store' di mana semua barangan di kedai tersebut adalah daripada sumbangan, dan hasil jualan digunakan untuk menyokong projek-projek kebajikan awam; 'Children's Exploration' di mana kanak-kanak berpeluang untuk memainkan pelbagai peranan profesional serta permainan interaktif; 'Shum Yip Sweet Home', tempat interaksi dengan kanak-kanak dan Penjagaan Kanak-kanak Berkualiti Tinggi; 'MG Space', pengalaman teknologi sains yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pemikiran inovatif dan penerokaan saintifik kanak-kanak; 'Babart Nature Gallery' yang menempatkan alam semula jadi dan seni semula jadi; persembahan ahli silap mata di 'Magic Space'; dan 'She and Shenzhen', sebuah galeri yang mempamerkan ketabahan wanita Shenzhen menentang norma dan menyumbang kepada transformasi Shenzhen selama ini.
Bangunan Shenzhen Women and Children's Centre ialah satu-satunya pusat perkhidmatan kebajikan awam peringkat perbandaran yang dikhaskan untuk wanita dan kanak-kanak di Shenzhen.
Bangunan tersebut pada mulanya merupakan menara tahun 1990-an yang usang, tetapi telah diubah menjadi hab karbon rendah yang mampan.
Selaras dengan objektif negara untuk mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2030 dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2060, bangunan itu dipilih oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara sebagai salah satu projek contoh bagi revitalisasi.